Thursday, August 4, 2011

Tamadun Islam Dan Tamadun Asia



Gambar hiasan
1.0 PENGENALAN
Perkataan tamadun berasal daripada bahasa Arab, iaitu daripada perkataan mudun dan madain. Satu lagi perkataan Arab yang mempunyai kaitan dengan perkataan tamadun madana yang mempunyai dua maksud, iaitu tinggi budi bahasa dan pembukaan bandar. Perkataan daripada bahasa Inggeris yang mempunyai persamaan makna dengan tamadun ialah civilization yang berasal daripada bahasa Greek, iaitu civitas yang bermaksud bandar. Tamadun juga boleh dieertikan sebagai peradaban.

Setiap masyarakat di dunia mempunyai definisi yang tersendiri tentang konsep tamadun. Bagi masyarakat Barat, tamadun dikaitkan dengan pembangunan lahiriah terutamanya dalam hal-hal kebudayaan seperti penulisan, undang-undang, kesenian dan pembandaran. Menurut pandangan beberapa sarjana Barat, misalnya, Gordon Childe, pencapaian lahiriah merupakan kayu ukur kemajuan tamadun dalam sesebuah masyarakat.Darcy Riberio dan R.A. Buchanan pula menolak unsur rohaniah sebaliknya hanya menekankan kepentingan dan pembangunan lahiriah dalam proses perkembangan tamadun.

Menurut Islam, tamadun mestilah merangkumi pembangunan lahiriah dan rohaniah. Oleh itu, Islam menekankan pembangunan lahiriah dan rohaniah. Kedua-dua unsur ini penting untuk mengukur tahap ketamadunan sesebuah masyarakat. Mengikut pandangan Syed Naquib al-Attas, tamadun ialah pencapaian tahap tatasusila yang tinggi dan kebudayaan yang luhur oleh sesebuah masyarakat.Pandangan sarjana Islam ini turut disokong oleh sarjana Barat seperti Richard Sullivan yang mengakui bahawa unsur rohaniah sangat penting dalam konsep tamadun.

Secara umumnya, konsep tamadun tidak hanya mementingkan pencapaian berbentuk lahiriah seperti kesenian dan pembinaan kota semata-mata tetapi juga mestilah diiringi dengan pencapaian dalam aspek rohaniah, tatasusila dan moral.

2.0 CIRI-CIRI TAMADUN
Usaha manusia untuk menyesuaikan kehidupan mereka dengan alam sekeliling telah menjadikan manusia lebih kreatif dan inovatif. Kreativiti dan inovasi manusia bergantung kepada pencapaian pemikiran dan kekuatan rohaniah mereka. Oleh itu, proses pembentukan tamadun merupakan manifestasi kepada pencapaian manusia dalam kedua-dua aspek ini.

Kewujudan petempatan kekal merupakan salah satu ciri utama kemunculan tamadun. Kehidupan secara menetap membawa kepada corak hidup yang lebih sistematik.

Peningkatan jumlah penduduk membawa kepada sebuah kehidupan berorganisasi yang merangkumi aspek sosial, ekonomi dan politik. Kehidupan secara berorganisasi ini mampu mengatur cara hidup manusia untuk memastikan kestabilan dan kemakmuran kehidupan mereka.

Bagi mengendalikan masyarakat yang lebih besar, sistem pemerintahan mula dibentuk untuk menjalankan pentadbiran. Kewujudan sistem pemerintahan membawa kepada kelahiran sistem perundangan yang menjadi panduan kepada masyarakat demi menjaga keamanan dan kemakmuran sesebuah tamadun.

Pembentukan organisasi sosial dan politik membawa kepada pengkhususan pekerjaan dalam tamadun awal. Peningkatan dalam produktiviti manusia menyebabkan pengkhususan pekerjaan menjadi lebih penting.

Agama dan kepercayaan memainkan peranan yang penting dalam perkembangan tamadun. Ini adalah kerana kedua-duanya amat berkait dengan pengiktirafan terhadap golongan pemerintah, pembahagian sosial masyarakat, perkembangan ilmu pengetahuan, kesenian dan pembinaan dalam proses pembentukan tamadun awal.

3.0 KESAN INTERAKSI ANTARA TAMADUN
Setiap tamadun manusia yang wujud di dunia ini dari dahulu hingga sekarang saling berinteraksi antara satu sama lain. Interaksi berlaku sama ada menerusi jalan peperangan atau keamanan. Menerusi interaksi, tamadun-tamadun ini belajar serta memindahkan ilmu pengetahuan, bahasa dan kebudayaan antara satu sama lain. Sesuatu tamadun perlu mengenali antara satu sama lain merupakan asas kepada persefahaman dan akhirnya membawa kepada kerjasama. Usaha untuk mengenali antara satu sama lain perlu dipertingkatkan khususnya mengenali kepercayaan, bahasa dan kebudayaan tamadun. Tamadun Islam, Tamadun India dan Tamadun China merupakan antara tamadun yang saling berinteraksi antara satu sama lain.

Interaksi-interaksi yang wujud di antara tamadun-tamadun ini meninggalkan pelbagai bentuk kesan samaada positif mahupun negatif. Interaksi tamadun Islam dengan tamadun China memperlihatkan kesan positif melalui perdagangan. Pedagang-pedagang Arab dan Parsi memainkan peranan penting dalam interaksi ini. Sebagai contoh, berlaku perkahwinan campur antara pedagang-pedagang ini dengan wanita-wanita tempatan. Hasil daripada interaksi ini, wujud penyebaran agama Islam di Negara China yang akhirnya mewujudkan komuniti Islam tempatan China.

Interaksi antara tamadun India dan tamadun Cina juga meninggalkan kesan yang positif kepada masyarakat. Dari segi kepercayaan, agama Buddha berjaya disebarkan ke Negara China melalui interaksi ini. Selain itu, berlaku juga pemindahan dan perkongsian ilmu dalam bidang sains dan teknologi. Apa yang dimaksudkan disini ialah, kemahiran membuat gula daripada tebu dengan menggunakan teknik dari India telah diperkembangkan kepada orang-orang China. Selain itu, dalam aspek matematik pula, India turut memperkembangkan bidang astronominya di negara China melalui ahli-ahli astronominya.

Interaksi antara tamadun Islam dan tamadun Melayu turut memberi impak yang positif. Kesan yang ditinggalkan melalui aktiviti perdagangan dapat dilihat dengan begitu ketara. Kesan positif yang paling penting ialah tersebarnya agama Islam di Kepulauan Melayu serta munculnya kerajaan-kerajaan Islam tempatan di Pasai, Melaka, Acheh, Johor-Riau, Brunei, Pattani, Sulu, Banten, Demak, Tuban, Mataram dan lain-lain lagi. Tamadun Islam telah mengubah pandangan hidup orang-orang Melayu. Ia juga turut membawa tulisan Jawi yang berperanan penting dalam perkembangan ilmu pengetahuan di Kepulauan Melayu. Tamadun Islam juga meninggalkan pengaruh yang besar dari segi perundangan, kesusateraan, kesenian, kebendaan seperti pakaian, makanan dan istilah-istilah Arab yang digunakan dalam bahasa Melayu.

Interaksi tamadun China dan tamadun Melayu pula banyak memberi kesan dalam bidang kemahiran, teknologi serta kebendaan. Tamadun China membawa teknologi membuat tebu (yang dipelajari dari India) ke Kepulauan Melayu. Selain itu, tamadun China juga bertanggungjawab memperkenalkan perusahaan sutera di Kepulauan Melayu. Dalam aspek kemahiran, tamadun China membawa kemahiran membuat tembikar serta pertukangan logam. Interaksi antara tamadun China dengan tamadun Melayu berlaku melalui dua cara iaitu secara aman dan secara konflik peperangan. Interaksi secara aman berlaku melalui aktiviti perdagangan, emigrasi dan hubungan diplomatik. Contohnya, kemuncak hubungan diplomatik negara China dengan Kepulauan Melayu ialah zaman Kesultanan Melayu Melaka.


4.0 PERSAMAAN DAN PERBEZAAN ANTARA TAMADUN
Persamaan dan perbezaan di antara tamadun Islam, tamadun Cina dan tamadun India dapat dilihat melalui beberapa aspek seperti ciri-ciri agama, budaya dan juga budaya.

Dalam aspek agama, Islam percaya wujudnya satu kuasa pencipta. Berbeza dengan agama Buddha (tamadun China), mereka menolak konsep tuhan tetapi mahu pengikutnya menghindar kemewahan dunia. Bagi agama Hindu (tamadun India) pula, mereka percaya kepada pelbagai dewa seperti Brahman, Vishnu dan Siva.

Dalam aspek kebudayaan pula, terdapat beberapa persamaan dalam budaya makan. Misalnya, masyarakat tamadun Islam, China dan juga India menjadikan gandum sebagai makanan ruji mereka. Hal ini berlaku apabila setiap tamadun terpaksa menerima pengubahsuaian apabila berlaku emigrasi dan perluasan empayar. Walaubagaimanapun, terdapat juga perbezaan yang ketara dalam aspek budaya makan ini. Contohnya, dalam tamadun Islam ada konsep halal dan haram. Tamadun Islam membenarkan memakan apa saja selagi bukan makanan dan minuman yang haram seperti daging khinzir dan arak. Begitu juga dengan tamadun India, penganut agama Hindu tidak dibenarkan untuk memakan daging lembu.

Dalam aspek etika, hampir semua perkara mempunyai persamaan antara tamadun. Sebagai salah satu contoh, semua tamadun mempunyai persamaan dalam hal yang berkaitan dengan alam sekitar. Mereka percaya bahawa alam sekitar perlu dijaga dan dipelihara dengan baik kerana itu adalah tanggungjawab mereka sebagai manusia. Bagi masyarakat primitif pula, mereka memelihara alam sekitar kerana percaya setiap benda yang terdapat di dunia ini mempunyai semangat dan harus dijaga dengan baik.

Dalam aspek pemerintahan pula, rakyat disuruh untuk mentaati pemerintah. Kung Fu Tze ( tokoh tamadun China) memberi panduan kepada pemerintah untuk menjalankan pemerintahan dengan baik dan mengutamakan kebajikan rakyat. Ini juga disarankan oleh ahli falsafah dari tamadun lain seperti Al-Ghazali, Kautilya dan ajaran Buddha. Di Asia Tenggara juga menekankan raja itu harus berkelakuan baik dan bertanggungjawab. Muncul konsep Devaraja dan daulat di mana raja diberi taraf suci dan tertinggi dan dijelmakan sebagai wakil tuhan. Ini memberi penegasan kepada rakyat supaya dapat menumpahkan taat dan setia kepada raja.

Aspek yang berikutnya ialah kemasyrakatan. Setiap tamadun menyatakan bahawa adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk menghormati setiap anggota masyarakatnya. Setiap ahli masyarakat perlu menjaga kebajikan dan memberi sokongan samaada berbentuk moral atau fizikal. Dalam tamadun Islam, perkara penting ialah perpaduan ummah. Walaubagaimanapun, ada juga yang tidak bersetuju. Contohnya, ahli falsafah China, Loa – Tzu menentang ajaran Kung Fu Tze yang menganjurkan hubungan antara masyarakat.

Aspek yang terakhir iaitu bidang ekonomi pula, setiap tamadun menekankan pentingnya etika dalam menjalankan perniagaan. Tamadun Islam menggalakkan perniagaan tetapi ada peraturan halal dan haramnya. Contohnya haram mengambil riba. Tetapi Kung Fu Tzu, perniagaan ditegah sama sekali kerana taraf peniaga diletakkan paling bawah keran amenindas golongan lain.

Kesimpulannya, interaksi antara tamadun meninggalkan pelbagai kesan ke atas masyarakat. Terdapat banyak kesan positif dan ada juga kesan-kesan yang negatif. Walaubagaimanapun, apa yang dapat dirumuskan ialah, pertembungan interaksi antara tamadun ini mewujudkan banyak perkara-perkara baru seperti percambahan ilmu pengetahuan, hubungan perdagangan dan banyak lagi. Tamadun-tamadun ini juga mempunyai persamaan dan perbezaan yang tertentu meliputi aspek teologi dan juga etika. Kita harus menghormati setiap persamaan yang ada dan menerima perbezaan yang wujud supaya keadaan kekal harmoni dan aman.

3 comments: