Thursday, November 1, 2012

6 PRODUK KOSMETIK DIHARAMKAN


KUALA LUMPUR: Bagi memastikan golongan wanita tempatan tidak teraniaya, enam produk kosmetik import diharamkan serta-merta oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas dikenal pasti boleh mencacatkan wajah selain turut mampu membawa maut.

Keenam-enam produk kosmetik import berkenaan dikenal pasti mengandungi racun berjadual iaitu kimia ‘hydroquinone’ dan ‘tretinoin’ yang ditakuti berikutan boleh membunuh sel kulit wajah selain meresap ke dalam saluran darah. Dalam beberapa kes dilaporkan sebelum ini, hydorquinone bertindak balas dalam aliran darah pengguna seterusnya menyebabkan barah, kemandulan, penyakit hati dan ginjal, sekali gus mengancam nyawa wanita yang memakainya.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Eisah A Rahman, berkata enam produk diharamkan berkenaan adalah Temulawak Whitening Pearl Creamv Papaya, Ratna Sari Whitening Night Cream, Atika Beuty Renewel Night Cream, Chantique Whitening Night Cream, Treatment No 1 dan Treatment No 2.

Menurutnya, penggunaan tretinoin dan hydroquinone adalah tidak dibenarkan dalam produk kosmetik kerana boleh membawa kesan sampingan kepada pengguna sekiranya digunakan tanpa nasihat doktor. “Tretinoin boleh menyebabkan kemerahan pada kulit, ketidakselesaan, kulit menggelupas dan hipertensif kepada cahaya matahari manakala hydroquinone juga memberikan kesan yang sama kecuali perubahan pada warna kulit. “Kesan dari penggunaan hydroquinone boleh menghalang proses pigmentasi di mana proses ini mengurangkan perlindungan ke atas kulit daripada pancaran ultra ungu dan sinaran matahari berlebihan yang boleh memberi risiko kanser kulit,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

MASALAH PENDARAHAN KETIKA BUANG AIR BESAR


Najis Campur Darah Petanda Awal
RAMAI antara kita pernah mengalami masalah pendarahan apabila buang air besar. Gejala najis bercampur berdarah ini sebenarnya petanda penting yang menunjukkan badan kita ada masalah kesihatan yang perlu mendapat rawatan segera.
Pendarahan ketika buang air besar dikategorikan sebagai masalah biasa yang berlaku dalam masyarakat kita terutama di kalangan golongan muda pada peringkat umur produktif iaitu antara 20 hingga 30 tahun.

Masalah ini lebih kerap berlaku pada individu yang terlalu banyak mengambil karbohidrat yang diproses, daging dan kurang makan sayur-sayuran serta buah-buahan. Karbohidrat yang diproses bermakna sumber karbohidrat dibersihkan daripada kekasaran luaran melalui kaedah penulenan.

Dalam proses ini, hampir semua vitamin, galian serta serat turut terbuang dan yang tinggal hanya kalori. Untuk menjadikan ia berkhasiat, sesetengah produk diperkayakan dengan memasukkan semula zat yang terbuang tadi. Antara contoh karbohidrat proses ialah roti putih, gula atau bahanyang dibuat daripada tepung.
Inilah sebabnya bagi individu yang mengamalkan pemakanan kaya karbohidrat proses lebih kerap mengalami masalah sistem perkumuhan terutama jika mereka juga kurang mendapat bekalan serat, air dan jarang bersenam.

Ada banyak punca yang boleh menyebabkan pendarahan ketika buang air besar. Punca yang paling lazim ialah buasir dan kanser usus selain rekahan pada kulit saluran dubur (masalah biasa dan menyakitkan, disebabkan sembelit atau mengeluarkan najis secara paksa), polip pada rektum dan usus besar serta ulser.
Masalah ini juga dipanggil pendarahan rektum (bahagian akhir usus besar) kerana rektum terletak betul-betul di atas lubang dubur. Kebanyakan pendarahan rektum pada usus besar, hujung usus besar atau dubur. Usus besar ialah sebahagian daripada saluran gastrointestin; iaitu laluan makanan selepas ia dicerna dalam usus kecil.

Usus besar bertanggungjawab menyingkirkan air daripada makanan yang tidak tercerna dan menyimpannya sehinggalah ia dibuang sebagai najis. Rektum pula adalah bahagian terakhir usus besar (15 sentimeter dari dubur). Manakala esofagus, perut, duodenum dan usus kecil dipanggil saluran gastrointestin atas.

Menurut Perunding Pembedahan Gastroenterologi, Dr Abdul Hamid Mat Sain, walaupun ramai yang menganggap ia agak memalukan tetapi gejala berbahaya tidak boleh dipandang ringan dan perlu diberikan perhatian segera bagi mengesan punca sebenar menyebabkan pendarahan.

Sikap tunggu dan lihat sebenarnya boleh menyebabkan masalah ini bertambah berat kerana ramai yang menganggap ia bukanlah perkara membimbangkan apabila pendarahan berhenti selepas beberapa ketika tanpa mendapatkan sebarang rawatan.

“Warna darah juga sebenarnya berbeza dan secara umum warna ia boleh memberikan gambaran kasar kepada punca, penyakit dan lokasi pendarahan. Jika warna darah yang keluar bersama najis itu merah cerah bermakna penyakit berada dekat dengan kawasan dubur (di bahagian usus yang hampir dengan kulit). Ia mungkin disebabkan masalah pada saluran menyebabkan salur darah bengkak dan pecah seperti yang berlaku pada pesakit buasir.

“Jika warna darah merah gelap bermakna pendarahan berlaku pada bahagian usus yang lebih dalam. Penyakit pada umumnya lebih berbahaya seperti kanser usus. Ini adalah punca pendarahan rektum yang paling lazim,” katanya.

Warna najis yang hitam dan melekit seperti tar (dipanggil melena) pula menandakan ada pendarahan pada bahagian lebih atas (pangkal) usus, esofagus, perut atau duodenum (usus kecil). Melena atau najis tar ini terhasil apabila pendarahan berlaku terlalu lama dalam usus besar yang memberikan peluang bakteria bertindak dan menghuraikannya kepada bahan dipanggil hematin yang berwarna hitam dan berbau sangat busuk. Inilah sebabnya apabila berlaku pendarahan rektum kali pertama, pesakit perlu menjalani pemeriksaan segera.

Selain warna, kuantiti darah juga boleh menjadi petanda tahap penyakit atau masalah yang dialami seseorang. Biasanya pendarahan rektum sederhana dikategorikan apabila banyak darah keluar setiap kali buang air besar. Jika kuantiti ini lebih banyak, bermakna pendarahan sudah mencapai tahap serius.

Pendarahan rektum juga boleh menyebabkan pesakit berasa lesu, pening atau pitam khususnya bagi mereka yang mengalami pendarahan serius. Kadang kala pesakit juga boleh mengalami simptom tekanan darah rendah terutama apabila berdiri selepas lama duduk di tandas.

Masalahnya ramai antara kita tidak mendapat pemeriksaan awal secukupnya. Bahkan pesakit juga enggan diperiksa kerana malu sebaliknya hanya meminta ubat daripada doktor. Tindakan ini sebenarnya perlu diubah kerana tanpa pemeriksaan, masalah sebenar yang dihadapi tidak dapat diketahui.

Dr Abdul Hamid berkata, pemeriksaan saringan pertama paling minimum ialah ujian rektum digitar yang memerlukan doktor melihat dan memasukkan jari ke dalam dubur pesakit. Ujian ini tidak sakit dan hanya mengambil masa satu atau dua minit saja. Biasanya melalui pemeriksaan ini, doktor boleh memeriksa keadaan dinding usus, bengkak, buasir, kanser atau ketumbuhan yang tumbuh di hujung usus besar.
Jika pendarahan bukan disebabkan buasir, ini bermakna pendarahan berlaku di bahagian usus yang lebih dalam dan diagnosis seterusnya perlu dijalankan kerana 50 peratus kanser usus lazimnya berlaku pada 15 sentimeter ke dalam usus (dari dubur).
Pada peringkat awal, pesakit umumnya tidak dapat membezakan sama ada pendarahan itu disebabkan buasir atau kanser usus kerana ramai yang mengalami kedua-dua masalah serentak. Jika didapati ada ketumbuhan dalam rektum, doktor akan menjalankan biopsi dengan mengambil secebis tisu daripada ketumbuhan berkenaan untuk diperiksa.

“Pesakit perlu membuang rasa malu kerana ia menghalang proses rawatan. Paling penting, jika pendarahan itu disebabkan kanser, ia boleh dirawat awal. Jika tiada buasir atau kanser, ini bermakna pendarahan berlaku pada bahagian atas gastrointestin. Ia boleh dipastikan melalui ujian kolonoskopi untuk mengesahkannya.
“Gejala najis berdarah juga berlaku pada kanak-kanak tetapi ia biasanya disebabkan masalah sembelit dan bukannya kanser. Bagaimanapun bagi orang dewasa, jangan buat tidak endah pada gejala ini kerana ia petanda penting wujudnya masalah kesihatan,” katanya.
info from : HPA Online Network

KHASIAT TABIAT MINUM AIR


MENGANTUKNYA!Setiap kali selepas makan tengah hari mesti mengantuk. Kadangkala rasa tidak larat hendak buka mata. Rasanya bukan sebab tidak cukup tidur sebab tiap-tiap malam aku tidur nyenyak,” rungut seorang rakan yang beberapa kali tersengguk-sengguk depan komputer.
Sememangnya, mengantuk selepas makan bukan disebabkan kurang tidur, sebaliknya ia menandakan kita dahaga dan badan tidak cukup air. Ramai tersilap menafsirkan keperluan badan terhadap air dengan rasa lapar.

Dahaga bukan petanda terbaik untuk memberitahu badan memerlukan air kerana sensitiviti terhadap dahaga semakin berkurang apabila umur meningkat, terutama pada orang tua. Badan kita hanya boleh mengawal keseimbangan air hingga satu peringkat tertentu.
Paras garam akan meningkat apabila simpanan air dalam badan berkurang. Otak akan mengesan perubahan keseimbangan ini dan memberi isyarat kepada buah pinggang untuk mengurangkan kehilangan air serta mencetuskan rasa dahaga.

Bagaimanapun, cetusan rasa dahaga ini berlaku lewat. Biasanya apabila kita berasa dahaga, badan sudah kehilangan kira-kira dua cawan cecair badan. Kehilangan ini boleh menimbulkan pelbagai implikasi.
Air adalah unsur penting dalam badan. Badan lelaki membabitkan 65 peratus air dan 55 peratus bagi wanita. Air bertindak sebagai pelarut, penyejuk, pelincir dan agen pengangkut nutrien ke seluruh badan.
Kandungan air dalam badan setiap orang adalah berbeza mengikut kandungan lemak masing-masing. Secara umumnya, jumlah peratusan air dalam badan orang yang tidak banyak lemak adalah lebih tinggi. Kira-kira 70 peratus berat otak, 75 peratus berat jantung, 90 peratus berat paru-paru dan 82 peratus kandungan darah membabitkan air.

Badan mengalami kehilangan air sepanjang masa iaitu hampir 80 peratus sehari, walaupun kita tidak aktif. Kehilangan ini berlaku melalui air kencing, najis, peluh dan pernafasan. Setiap kali menghembuskan nafas, kita kehilangan air dalam bentuk wap. Jika dikumpulkan, kita mungkin boleh dapat satu atau dua gelas air yang hilang melalui pernafasan.
Ini sebabnya pakar kesihatan menyarankan kita minum sekurang-kurangnya lapan gelas atau satu liter air setiap hari. Sumber air bukan hanya daripada air minuman kerana ia juga ada dalam makanan, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Berapa banyak air yang kita perlukan?
Secara umumnya setiap orang memerlukan sekurang-kurangnya lapan gelas air atau satu liter air sehari. Namun, jumlah ini berbeza antara setiap individu, aktiviti dilakukan dan cuaca tempat tinggal. Tentu saja jika kita melakukan senaman pada hari panas, kita kehilangan lebih banyak air melalui peluh.

Air yang keluar ini perlu diganti segera, sama ada ketika atau selepas bersenam, untuk mengelak masalah kekeringan. Kehilangan banyak air menyebabkan tekanan darah turun mendadak, bekalan oksigen ke otak menurun dan jika terlalu serius, ia boleh membawa maut.

Jika terlalu banyak minum, tidakkah akan berlaku keracunan air? Memang boleh, tetapi ia jarang berlaku. Sebenarnya sukar bagi orang sihat mengalami keracunan air. Ia biasanya berlaku pada bayi. Malah, individu yang alami masalah berat badan berlebihan perlu minum lebih banyak air, iaitu segelas bagi setiap 11 kilogram melebihi berat badan unggul.

Mereka yang bercita-cita mengurangkan berat badan juga digalakkan minum banyak air. Kekurangan air merendahkan kadar metabolisma dan badan tidak boleh memecah dan menggunakan lemak dengan berkesan. Akibatnya, proses menurunkan berat badan menjadi lebih sukar.

Masalah retensi air atau ketidakbolehan badan mengeluarkan air dari pundi kencing menjadi lebih buruk jika kita tidak mendapat cukup air. Ada kalanya masalah ini boleh diatasi dengan minum lebih banyak air untuk menggalakkan pembuangan air berlebihan.

Oleh kerana kebanyakan zat makanan larut dalam air, mungkin ada yang risau ia dibuang melalui air kencing. Jangan risau. Masalah ini tidak berlaku kerana buah pinggang kita mempunyai sistem penapisan yang cerdik. Hanya bahan tidak berguna dibuang. Semua khasiat makanan diserap ketika dalam usus dan dimasukkan ke dalam darah untuk diagihkan ke seluruh badan.

Sebenarnya ramai mengalami masalah kekurangan air tanpa disedari. Malah, ramai juga berkata tidak mahu kerap berulang ke tandas sebagai alasan untuk tidak minum banyak air. Tindakan ini sebenarnya meracun diri kerana tanpa air yang cukup, badan sukar mengeluarkan bahan toksik dan boleh berkumpul membentuk batu karang.

Tanpa air yang cukup juga, nutrien daripada makanan tidak dapat diagihkan dengan baik dan menyebabkan lebih banyak lemak terkumpul dalam badan. Bentuk dan saiz otot turut berubah. Paling malang , jika kekurangan air meningkatkan paras bahan toksik hingga membahayakan nyawa.
Kesan kekurangan cecair.

Kajian menunjukkan kehilangan dua peratus cecair badan boleh menyebabkan :-
Lemah daya ingatan (ingatan jangka pendek)
Sukar membuat kiraan, walaupun yang mudah
Sukar memberi tumpuan terhadap perkara dilakukan terutama pada skrin komputer atau bahan bacaan bercetak
Tekanan darah menurun
Jumlah oksigen yang sampai ke otak berkurang menyebabkan rasa mengantuk
Lesu pada waktu siang
Sakit belakang
Dehidrasi
Sakit kepala
Memperlahankan kadar metabolisma
Meningkatkan risiko kanser usus, pundi kencing dan payu dara
Sendi dan otot mengalami kekeringan
Menyukarkan penyingkiran bahan toksik
Meningkatkan keinginan untuk makan
Darah menjadi pekat
Mudah keliru.
Degupan jantung meningkat
Menjejaskan tindak balas kimia dalam badan